LIVERPOOL – Juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool menerima tamparan hebat selepas bintang baharunya yang dibeli daripada Bayern Munich, Thiago Alcantara disahkan positif wabak pandemik Covid-19.
Situasi itu menyaksikan The Reds terpaksa melupakan khidmat Alcantara, 29, untuk beberapa perlawanan EPL seterusnya termasuk satu lagi aksi menentang Arsenal, kali ini dalam pusingan keempat Piala Liga di Anfield awal pagi esok.
Pemain tengah Sepanyol itu sebelum ini sudah terlepas perlawanan ketika menang 3-1 ke atas Arsenal dalam saingan EPL kelmarin kerana masalah kecergasan selepas membuat debut cemerlang menewaskan Chelsea 2-0 pada 20 September lalu.
“Kami mengesahkan bahawa Alcantara telah diuji positif Covid-19. Dia kini perlu menjalani proses kuarantin di kediaman sendiri dengan mengikut protokol yang telah ditetapkan.
“Keadaannya akan sentiasa dipantau dari semasa ke semasa dan kami berharap dia akan kembali menyertai skuad utama secepat mungkin,” menurut kenyataan rasmi Liverpool malam kelmarin.
Selain terlepas perlawanan menentang Arsenal awal pagi esok, Alcantara juga tidak dapat diturunkan menentang Aston Villa untuk perlawanan EPL seterusnya minggu depan.
Jika bekas bintang Barcelona itu disahkan negatif wabak Covid-19, dia dijangka kembali beraksi buat skuad bimbingan Jurgen Klopp tersebut dalam aksi derbi Merseyside menentang Everton di Goodison Park pada 17 Oktober ini. – AGENSI