Oleh KHAIRUL MOHD. ALI
JOHOR BAHRU – Tujuh sekeluarga ahli Geng Syed diberkas selepas disyaki aktif melakukan pengedaran dadah sejak tahun lalu dalam empat serbuan berasingan di Johor Bahru Utara dan Iskandar Puteri di sini hari ini.
Dalam serbuan bermula pada pukul 7 pagi itu, kegiatan jenayah yang diketuai seorang lelaki disyaki ketua keluarga itu akhirnya terbongkar selepas polis menahan tujuh suspek terbabit berusia antara 35 hingga 64 tahun.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya turut merampas 109 kilogram ganja dianggarkan bernilai RM272,500 dalam serbuan tersebut.
“Berdasarkan maklumat diperoleh menerusi beberapa serbuan dan tangkapan yang dibuat sejak Mei 2020, polis telah menjalankan empat serbuan sekitar Johor Bahru dan Iskandar Puteri melibatkan sindiket dadah yang dikenali sebagai Geng Syed pada pukul 7 pagi.
“Dalam operasi ini, tujuh orang ditahan yang kesemuanya ahli keluarga melibatkan empat lelaki tempatan, dua wanita tempatan serta seorang wanita warga Thailand,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.
Menurut Ayob Khan, dalam serbuan itu, polis turut menyita lima buah kereta, tiga buah motosikal, pelbagai barangan kemas serta wang tunai dianggarkan bernilai RM486,340.
“Hasil ujian air kencing dijalankan mendapati, seorang suspek positif dadah, manakala dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kes dadah.
“Kesemua suspek yang ditahan akan dikenakan reman untuk siasatan lanjut bermula esok,” ujarnya.
Sementara itu, Ayob Khan turut memaklumkan, sejak 1 Januari hingga 30 September tahun ini, polis Johor telah menahan seramai 14,886 suspek atas pelbagai kesalahan dadah.
“Jumlah ini turut membabitkan rampasan dadah seberat 2,164.28 kilogram dengan anggaran nilai RM25.76 juta, manakala barangan disita dianggarkan bernilai RM12.45 juta.
“Sehubungan itu, polis Johor berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang berlaku di kawasan mereka,” tambahnya. – K! ONLINE