KLANG – Taktik satu sindiket menyeludup rokok dan minuman keras bernilai hampir RM8juta dengan membuat pengisytiharan palsu seperti biskut dan baju terpakai tumpas dalam serbuan di sebuah gudang di Telok Gong di sini semalam.
Serbuan pukul 5.30 petang itu berjaya menahan lima ahli sindiket masing-masing pemandu lori dan peniaga gudang berusia 24 hingga 35 tahun termasuk tiga daripadanya merupakan pendatang asing tanpa izin (PATI).
Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohd. Yusoff Mamat berkata, modus operandi itu dikesan menerusi risikan selama dua bulan membawa barangan seludup dipercayai dari Vietnam dengan menggunakan kontena.
Katanya, pengisytiharan palsu dilakukan sindiket dengan menyatakan kontena itu berisi barangan plastik, beg dan biskut dan baju terpakai.
“Kita kemudiannya menahan lori seberat lima tan jenis ‘bonded’ yang dipenuhi rokok seludup dan arak.
“Soal siasat membawa serbuan di sebuah gudang dan menemui sebuah lagi lori juga berisi muatan sama selain sebuah kontena dari Pulau Pinang dipercayai digunakan sindiket untuk membawa masuk rokok dan minuman keras,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Kata beliau, sebanyak 62,380 kotak rokok seludup dan 1,008 botol minuman keras dengan nilai keseluruhan hampir RM8 juta termasuk cukai dirampas pihaknya.
Mohd. Yusoff menegaskan ia merupakan rampasan terbesar selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Sindiket juga didapati telah mengubah cara penyeludupan dengan melalui jalan darat berbanding sebelum ini melalui lorong-lorong tikus dengan menggunakan bot laju.
“Kesemua barangan seludup itu dipercayai untuk pasaran tempatan dan berdasarkan keadaan gudang dipercayai sindiket telah lama beroperasi,” katanya.
Tambah beliau, pihaknya kini sedang mengesan pemilik gudang selain beberapa kontena lain digunakan sindiket ini di negeri-negeri lain.
Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967. -K! ONLINE