Oleh NOOR HASLIZA NUSI
GEORGE TOWN – Seorang warga emas masih terkenangkan nostalgia kehidupannya pada zaman pemerintahan tentera Jepun sehinggalah negara mencapai kemerdekaan ketika menetap di kediaman keluarganya di Kampung Dodol, Jalan Perak di sini sehingga ke hari ini.
Zaharian Hassan, 84, yang juga pewaris salah sebuah kediaman di kampung tanah wakaf Hashim Yahaya itu berkata, masih terpahat dalam pemikirannya saat berdepan dengan kumpulan penjajah ketika berusia 10 tahun dan menganggap kisah itu menjadi sejarah hidupnya.
Ceritanya, ketika itu dia bersama lapan beradik yang lain tinggal di sebuah rumah kayu setingkat milik bapanya, Hassan Pitchey dan sempat merasai keperitan saat didatangi anggota tentera Jepun selain terpaksa berlari beramai-ramai ke dalam kubu untuk menyelamatkan diri.
“Saya masih ingat lagi yang jiran di belakang rumah kami dipukul oleh tentera Jepun. Ketika itu, saya bersama adik-beradik lain menyorok di dalam rumah dan hanya mengendap melalui tingkap rumah.
“Pernah juga ayah meminta kami adik beradik menutup lampu rumah bimbang dimasuki tentera Jepun, selain menyorok di dalam kubu berhampiran dan bersembunyi di dalam tikar. Setiap hari kami hidup dalam ketakutan.
“Sehinggalah negara mencapai Kemerdekaan pada tahun 1957 ketika usia saya mencecah 21 tahun. Boleh dikatakan seperti mati hidup semula,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini baru-baru ini.
Tambahnya, mereka sekeluarga tidak lagi berasa takut dan berani berjalan seorang diri di kawasan kampung ini.