KUALA LUMPUR – Pertengkaran dan selisih faham di tempat kerja punca kejadian bunuh dilaporkan di negara ini.
Perkara itu didedahkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed susulan 5,408 kes pembunuhan direkodkan dalam tempoh 11 tahun sejak 2009 sehingga tahun lalu.
Katanya, dalam tempoh yang sama seramai 5,542 individu menjadi mangsa pembunuhan.
“Daripada jumlah itu, seramai 3,453 adalah mangsa bunuh warga tempatan manakala 2,089 membabitkan bukan warganegara. Selain itu, pihak polis turut menahan 9,398 individu terbabit kes bunuh membabitkan warga tempatan dan warga asing.
“Kebanyakan kes bunuh yang berlaku dalam negara berniat melakukan jenayah bukanlah disebabkan pembunuh upahan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Huzir memberitahu, sebanyak 50 peratus motif pembunuhan dapat dikenal pasti selepas hasil siasatan manakala selebihnya tidak dapat atas faktor mayat sudah reput dan lama sehingga menyukarkan proses bedah siasat.
“Bagi tempoh 11 tahun itu pembunuhan akibat pertengkaran sahaja merekodkan 844 kes selain pembunuhan disebabkan berselisih faham kerja membabitkan warga asing,” ujarnya.- K! ONLINE