ALOR SETAR – Seorang pengarah urusan sebuah syarikat ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mengemukakan dokumen dengan butiran palsu melibatkan tender sebuah kementerian bernilai lebih RM22 juta, dua tahun lalu.
Lelaki berusia 33 tahun itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah di sebuah restoran di Kajang, Selangor kira-kira pukul 12 tengah hari semalam sebelum dibawa ke pejabat SPRM negeri di sini untuk tindakan lanjut.
Suspek kemudian dibawa ke Kompleks Mahkamah Alor Setar pada pagi ini untuk mendapatkan perintah tahanan reman.
Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret di sini, Jamaluddin Alias membenarkan lelaki itu direman selama tujuh hari bermula hari ini.
Menurut sumber, suspek yang memegang jawatan pengarah urusan sebuah syarikat didakwa telah mengemukakan dokumen mengandungi butiran palsu dengan tujuan untuk memasuki tender sebuah kementerian pada Julai 2018.
Tender tersebut adalah untuk kerja-kerja pembersihan di sebuah jabatan kerajaan di negeri ini yang bernilai lebih RM22 juta.
Suspek juga didakwa mengarahkan serta memaksa dua kakitangannya untuk membuat penyata bank dan cop palsu bagi tujuan sama.
Dia dikatakan telah dianugerahkan projek tersebut oleh kementerian berkenaan pada 2018.
Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap ketika dihubungi mengesahkan penahanan lelaki terbabit.
“Mahkamah membenarkan tertuduh direman selama tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009,” katanya.-K! ONLINE