Oleh NUR SYAZWANA MANSOR
SUNGAI PETANI – Nelayan dan pengunjung di Pasar Bisik Kota Kuala Muda di sini menjalankan tradisi berbisik bagi aktiviti jual beli ikan secara norma baharu bagi membendung penularan Covid-19.
Amalan penduduk setempat yang sudah dilakukan sejak lebih 50 tahun lalu itu dilakukan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan penjarakan fizikal selain diawasi anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM).
Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu, budaya berbisik yang menjadi tradisi di pasar terbabit terpaksa dihentikan.
Pengurus Besar Persatuan Nelayan Kawasan Kuala Muda, Mohamad Fahamy Mohamad Shagaff berkata, pasar bisik itu sudah dibuka untuk orang awam di mana sebelum ini hanya dibenarkan untuk peraih yang berdaftar dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
“Namun 15 orang pengunjung sahaja yang boleh berada di dalam kompleks pasar bisik pada satu-satu masa.
“Pengunjung juga hanya dibenarkan berada di dalam kawasan kompleks dan tidak dibenarkan turun ke kawasan pelantar bot nelayan,” jelasnya ketika dihubungi di sini semalam.
Katanya, aktiviti jual beli antara nelayan dan pelanggan juga dibuat secara penjarakan fizikal satu meter.
“Aktiviti membida harga masih dilakukan mengikut budaya pasar ini tetapi dalam jarak yang ditetapkan,” katanya.
Sementara itu, nelayan yang juga Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Kuala Muda,Md. Saad Said, 62, berkata, bekalan ikan kembung di pasar tersebut tidak pernah terputus sejak Mac lalu.
“Tangkapan ikan kembung meningkat sejak Mac lalu dan setiap nelayan akan dapat membawa balik sebanyak 400 hingga 500 kilogram ikan sehari jika cuaca baik.
“Pendapatan nelayan kini kembali pulih dalam tempoh PKP Pemulihan ini selepas orang awam dibenarkan untuk datang ke pasar ini semula,” tambahnya.