fbpx

Pakailah topi keledar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
SYALMIZI HAMID,
WAKIL PULAU PINANG

BARU-BARU ini seorang Ahli Parlimen di Dewan Rakyat mempertahankan tindakan beberapa Ahli Parlimen lain yang didapati me­nunggang dan membonceng motosikal tanpa memakai topi keledar.

Ia didakwa berlaku ketika kempen pilihan raya kecil sebelum ini.

Ahli politik tersebut yang bingkas bangun telah memberikan alasan bahawa tindakan oleh rakan-rakannya itu sekadar perkara biasa untuk pergi ke masjid berdekatan.

Pandangan itu adalah tindak balas terhadap pendedahan seorang Ahli Parlimen di blok berlawanan yang mempersoalkan tindakan tersebut.

Ia didakwa sebagai contoh tidak baik kepada rakyat, apatah lagi ketika kerajaan berusaha keras menjayakan kempen ke­selamatan jalan raya terutama­nya kepada penunggang motosikal yang menjadi penyumbang terbesar statistik maut.

Sebenarnya, senario menunggang motosikal tanpa mengenakan topi keledar dilihat sebagai situasi biasa dalam kalangan masyarakat kita terutamanya di kawasan taman perumahan atau kampung apabila fungsinya dianggap remeh bagi sesetengah individu.

Selain itu, tinjauan turut mendapati segelintir ibu bapa yang membonceng anak-anak pulang atau pergi ke sekolah sambil membiarkan mereka tidak me­ngenakan topi keledar juga fenomena biasa.

Satu kajian yang dilakukan ke atas 5,000 pengguna motosikal di negara ini menjelaskan, hanya 54 peratus penunggang didapati menggunakan topi keledar de­ngan betul, manakala (21 peratus) dengan cara tidak sempurna dan (24 peratus) tidak memakai langsung.

Berdasarkan Pertubuhan Ke­sihatan Sedunia, kajian tersebut turut mendedahkan bahawa golongan muda, lelaki dan mereka yang berpendidikan rendah di negara ini lebih cenderung untuk tidak memakai topi keledar de­ngan betul.

Sebenarnya, aksesori ke­selamatan itu mempunyai pe­ranannya bagi meminimumkan kecederaan otak traumatik ketika kemalangan yang boleh menyebabkan kematian, kecacatan kekal atau perubahan tingkah laku.

Lapisan penyerap yang diperbuat daripada expanded polys­tyrene berperanan menyerap daya hentakan dan menyebabkan pergerakan kepala dihentikan dengan lebih perlahan.

Ini bermakna risiko otak untuk menghentam tempurung kepala dengan kuat dapat dikurangkan melalui penggunaan topi keledar dengan cara yang betul.

Sementara itu, pakar neurosurgeri di Fakulti Perubatan dan Kesihatan Awam, Universiti Wisconsin-Madison, Amerika Syarikat, Profesor Madya Natha­niel Brooks berkata, topi keledar berkesan mencegah kecederaan tengkuk.

Beliau berkata, dalam kajian ke atas 1,060 penunggang yang terlibat kemalangan, 15.4 peratus mereka yang tidak memakai topi keledar didapati mengalami sekurang-kurangnya satu kece­deraan pada tengkuk.

“Kajian itu turut mendapati 10.8 peratus daripada mereka yang tidak mengenakan topi ke­ledar mengalami patah tengkuk berbanding hanya 4.6 peratus dalam kalangan penunggang yang bertopi keledar,” katanya.

Dalam pada itu, pensyarah di Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Profesor Dr. Zaid Ahmad berkata, pengguna sepatutnya sentiasa mengambil kira risiko kemalangan setiap kali menunggang motosikal biarpun di kawasan yang dianggap ‘selamat’.

“Ia adalah anggapan biasa apabila penunggang melalui jalan kecil dengan kelajuan yang rendah atau ke lokasi yang dekat yang dianggap ‘tidak’ bahaya sehingga dijadikan alasan untuk tidak mengenakan topi keledar,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Tambahnya, amalan memakai topi keledar perlu diamalkan se­perti kita memakai pelitup muka bagi membendung Covid-19.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI