MOSCOW – Rusia semalam melaporkan bahawa angkasawan berjaya menemui lokasi kebocoran udara di dalam Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) iaitu di segmen Rusia.
Kru angkasawan di ISS dilaporkan memulakan pencarian tempat kebocoran itu sejak Ogos lalu, bermula dengan segmen Amerika Syarikat (AS).
Mereka ialah Anatoly Ivanishin dan Ivan Vagner dari Rusia dan Christopher Cassidy dari Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) di Amerika Syarikat.
Agensi Angkasa Lepas Rusia, Roscosmos dalam satu kenyataan berkata, lokasi kebocoran itu didapati berlaku di modul servis Zvezda yang menempatkan peralatan saintifik.
Roscosmos juga mengesahkan pencarian diteruskan untuk mencari lokasi tepat kebocoran tersebut sambil menyifatkan kebocoran itu tidak mengancam nyawa atau kesihatan kru ISS.
“Ia bukan satu keadaan kritikal dalam masa terdekat,” kata Sergei Krikalyov yang merupakan pengarah eksekutif program angkasa lepas Rusia menerusi penyiaran televisyen.
Beliau berkata, ISS sentiasa mengalami kejadian kecil kehilangan udara disebabkan oleh sistem penulenan udara.
“Kebocoran ini boleh dijangka. Apa yang berlaku sekarang ialah lebih daripada kebocoran biasa. Jika kebocoran terus berlaku dalam lama, ia (ISS) akan memerlukan bekalan udara tambahan di stesen berkenaan,” katanya.
Tambah beliau, kru ISS kini sedang berehat dan berharap dapat menemui tempat tepat dan membaiki kebocoran itu, hari ini. – AFP