fbpx

Mangsa gas karbon monoksida keluar hospital minggu ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sharifah Fariesha (duduk, kiri) dan Nor Adilah (duduk, kanan), Ayuni Shazwanie (belakang, kiri) dan Nor Aqilah bergambar kenangan ketika mengunjungi Pulau Jerejak sebelum tiga daripada mereka maut akibat terhidu asap karbon monoksida di Seberang Perai baru-baru ini.

SEBERANG PERAI – Mangsa keracunan gas karbon monoksida, Nor Aqilah Mohd. Safwan, 21, dijangka keluar daripada hospital pada minggu ini selepas keadaan kesihatannya semakin pulih.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd. Samad berkata, mangsa kini telah dipindahkan ke wad biasa selepas dirawat di Unit Rawatan Rapi, Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Kuala Lumpur sejak 17 September lalu.

“Dia kini dalam pemantauan doktor di wad biasa.

“Nor Aqilah juga telah menjalani fisioterapi dan akan dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur untuk pemeriksaan bahagian otak,” katanya kepada pemberita hari ini.

Menurut Shafee, Nor Aqilah yang sedar daripada koma sejak beberapa hari lalu turut tidak menunjukkan sebarang kemurungan selepas dimaklumkan cerita sebenar mengenai kejadian yang menimpa dirinya itu dan juga kematian saudara kembarnya, Nor Adilah.

“Doktor maklumkan dia akan dibenarkan keluar dalam minggu ini selepas Nor Aqilah memberikan respon positif,” katanya lagi.

Dalam kejadian di sebuah stesen minyak di Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Permatang Pauh pada 16 September lalu, Nor Aqilah bersama Nor Adilah serta dua rakan, Sharifa Fariesha Syed Fathi dan Ayunie Shazwanie Shabri berusia 21 tahun ditemui tidak sedarkan diri di dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang enjinnya masih hidup ketika sedang berehat.

Sharifah Fariesha disahkan terbunuh di dalam MPV jenis Honda Odyssey itu, manakala Ayunie Shazwanie disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Seberang Jaya di sini akibat keracunan gas karbon monoksida.

Nor Adilah yang dikejarkan ke Hospital Angkatan Tentera Lumut, Perak turut meninggal dunia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI