LIVERPOOL – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp masih belum gembira dengan prestasi barisan pemainnya meskipun berjaya mendominasi Arsenal menerusi kemenangan 3-1 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Anfield awal pagi semalam.
Justeru, pengendali dari Jerman itu menggesa anak-anak buahnya agar menunjukkan peningkatan permainan dan pada masa sama mengekalkan aksi yang konsisten sepanjang saingan musim ini.
Bagaimanapun, beliau tetap gembira dengan kemenangan tersebut, lebih-lebih lagi apabila ia dilakukan ke atas Arsenal yang dianggap salah sebuah pasukan terbaik di England ketika ini.
“Sebenarnya kami perlu tingkatkan kualiti permainan serta menampilkan aksi konsisten. Walaupun kami sudah bermain dengan baik tetapi persembahan yang lebih cemerlang dan berharap ia boleh diteruskan.
“Satu perlawanan yang sangat baik dan saya gembira dengan prestasi semua pemain. Cumanya saya kecewa apabila kami dibolosi satu gol tetapi tahniah kepada pemain kerana bangkit dengan pantas untuk mengubah keputusan perlawanan,” katanya.
Sementara itu, Klopp, 53, turut memuji ketangkasan penjaga gol, Alisson Becker yang berjaya menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya daripada jentera serangan The Gunners terutama menerusi Alexandre Lacazette.
“Arsenal mungkin tidak mencipta banyak peluang menjaringkan gol tetapi mereka cukup berbahaya. Nasib baik kami ada Alisson yang bertindak cemerlang di pintu gol,” ujarnya.
Tiga gol The Reds dalam perlawanan itu dijaringkan oleh Sadio Mane, Andrew Robertson dan Diogo Jota, manakala Lacazette menghadiahkan jaringan sagu hati buat Arsenal. – AGENSI