Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
ALOR GAJAH – Seorang lelaki cedera parah selepas ditikam dengan pisau oleh dua lelaki dalam satu pergaduhan dipercayai berkaitan dengan dadah di Dataran Keris, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.40 petang, mangsa berusia 49 tahun yang ditikam pada bahagian lengan kiri dan belakang badan itu ditemui oleh orang awam dalam keadaan berlumuran darah di sebuah premis cuci kereta.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, maklumat kejadian diterima sepasukan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) kira-kira pukul 5.52 petang dan terus menghala ke tempat kejadian.
“Setiba di tempat kejadian, didapati terdapat seorang lelaki mengalami kecederaan dipercayai ditikam dengan pisau sedang dibantu oleh orang ramai.
“Mangsa kemudian dibawa ke hospital Alor Gajah untuk mendapatkan rawatan dan kini dilaporkan dalam keadaan stabil,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, dua individu berusia 21 dan 24 tahun turut ditangkap oleh orang awam dan diserahkan kepada pihak polis selepas dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut.
“Hasil siasatan awal, mangsa dikatakan telah berselisih faham dengan kedua-dua suspek berkaitan dadah sebelum salah seorang daripada mereka bertindak menikamnya.
“Mangsa yang mengalami kecederaan di lengan kiri dan bahagian belakang bagaimanapun sempat melarikan diri ke sebuah tempat cuci kereta berhampiran sebelum dibantu orang awam,” katanya.
Katanya, kedua-dua lelaki tersebut kini ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE