Oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED
KLANG – Seekor kucing jantan diselamatkan selepas kepalanya tersangkut pada lubang sinki di sebuah rumah di USJ 9, Subang Jaya, semalam.
Operasi menyelamatkan kucing itu mengambil masa selama 30 minit oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang.
Ketua Sektor Operasi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Klang, Leftenan (PA) Muhammad Najib Mohamad Isahak berkata, kejadian tersebut disedari seorang wanita berusia 40-an selepas mendengar rengekkan kucing jalanan tersebut di hadapan rumahnya.
Katanya, sinki yang tidak lagi digunakan itu di hadapan rumah tersebut.
“Lima anggota yang dikejarkan ke lokasi kejadian terpaksa menggunakan alat penggerudi untuk menebuk lubang sinki di sekeliling kepala kucing tersebut.
“Operasi menyelamat itu mengambil masa 35 minit tanpa kecederaan kepada kucing itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Jelas beliau, pihaknya dimaklumkan bahawa pemilik rumah tidak memelihara kucing jalanan tersebut.
“Justeru, kucing itu diserahkan kepada seorang individu yang menyatakan kesudian untuk memeliharanya,” katanya.-K! ONLINE