KUALA LUMPUR- Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim meluahkan rasa kecewa dengan keputusan kerajaan yang tidak melanjutkan pinjaman selama tiga bulan seperti yang digesa.
Beliau berkata, meskipun keputusan kerajaan tidak semestinya melibatkan moratorium penuh, tindakan itu dilihat satu pengabaian tanggungjawab yang amat serius apabila kerajaan gagal untuk mengenakan moratorium bersasar.
“Menurut laporan terkini, bank-bank secara umumnya telah menghubungi seramai 1.4 juta peminjam, yang mana sejumlah 380,000 dari angka tersebut telah memohon untuk lanjutan pinjaman dan bantuan kewangan.
“Sebanyak 98 peratus telah diberikan dukungan kewangan oleh institusi bank. Meski saya puji langkah tersebut, namun yang seharusnya diambilkira adalah terdapat 8.3 juta peminjam di Malaysia,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Anwar, secara ringkasnya, bank-bank hanya berhubung dengan 17 peratus dari jumlah keseluruhan peminjam.
Katanya, angka tersebut tidak begitu meyakinkan dan mencerminkan kegagalan kerajaan dan institusi bank memahami sentimen keseluruhan para peminjam.
Justeru, beliau menggesa kerajaan melaksanakan moratorium pinjaman secara bersasar dengan fokus utama kepada peminjam yang berpendapatan rendah serta pengusaha-pengusaha kecil dan sederhana. -K! ONLINE