Kita sering membayangkan, kawasan kejiranan pangsapuri yang dikelilingi kehijauan di tengah-tengah kota pastinya suatu yang indah dipandang. Balkoni-balkoninya terhias dengan taman yang amat mempesonakan.
Tentu penghuninya berasa bangga kerana unit kediaman yang didudukinya mempunyai nilai keunikan dan orang ramai terkesima menyaksikan kediaman seumpamanya yang menyajikan pemandangan segar dan mendamaikan.
Pada waktu pagi pula, para penghuninya akan bangun tidur dengan menghirup udara nyaman daripada tumbuhan-tumbuhan yang tertanam di balkoni bersaksikan atmosfera langit.
Itu jugalah fantasi ‘syurga hijau’ yang cuba digambarkan pemaju Kompleks Kediaman Taman Kota Qiyi di Chengdu, China apabila ingin membangunkan kondominium itu pada tahun 2018.
Hasilnya, kesemua 826 unit kediaman lapan blok itu habis terjual.
Semua pihak dari dalam dan luar negara pada masa itu memuji idea mesra hijau yang diketengahkan kerana membawa kebaikan. Apatah lagi projek dibina di Chengdu, kota paling tercemar di negara itu.
Namun, indah khabar daripada rupa. Baru-baru ini kondominium itu yang dilaporkan siap mengejutkan dunia apabila bertukar menjadi mimpi ngeri kerana rupanya sangat menjelikkan bak hutan belantara vertikal.
Tanaman tumbuh menjalar dan berjuntaian seakan mahu menelan balkoni. Semak-samun tebal menyebabkan kediaman itu kelihatan seperti rumah usang yang sudah lama ditinggalkan.
Hanya 10 orang yang sanggup menghuni kediaman itu. Selebihnya hanya menjadi habitat nyamuk yang semakin rancak membuat sarang.
Bahkan, kebimbangan tercetus dalam kalangan orang ramai adakah rumah itu selamat untuk didiami jika akar-akar pokok semakin menjalar.
Begitu jugalah dengan kehidupan ini. Sesuatu yang kita fikirkan baik, elok, beruntung dan bagus itu belum tentu benar-benar baik jika ia menjadi realiti atau kita perolehi.
Mungkin ada orang yang merasakan hidupnya akan lebih indah jika dirinya cantik, kacak, kaya, bertubuh kekar dan sebagainya, tetapi mungkin itu tidak baik untuk dirinya.
Seperti Qarun pada zaman Nabi Musa AS yang sangat mendambakan untuk menjadi kaya-raya, namun akhirnya kekayaan itulah yang merubahnya menjadi takbur, sombong dan menjauhi Allah.
Kemewahan telah memakan dirinya yang pada asalnya seorang yang miskin daif. Dia menjangkakan kekayaan boleh menjadikan dia lebih banyak melakukan kebaikan.
Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 216: “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, pada hal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, pada hal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”