TIDAK semua orang mempunyai sejarah silam yang indah kerana bagi penyanyi Lee Hangyul, ada kisah menyayat hati yang dipendam sendirian sejak dahulu tanpa diketahui orang.
Dedah Hangyul, dia hanya mengetahui dirinya merupakan anak angkat kepada keluarganya sekarang ketika berusia belasan tahun.
Dia sebenarnya ditinggalkan di sebuah rumah anak yatim selepas dilahirkan sehingga umur tujuh tahun.
Terkadang, hatinya memberontak untuk mengetahui punca mengapa kedua ibu bapanya sanggup meninggalkan dirinya.
Namun dia sentiasa berfikiran positif dengan beranggapan mungkin tindakan tersebut dilakukan atas beberapa sebab ataupun kesulitan yang dihadapi ketika itu.
Dia yang dibesarkan oleh keluarga angkat enggan menoleh ke belakang dan menjadikan kisah silam sebagai penghalang untuknya berjaya.
“Saya perlu bekerja keras untuk membalas semula budi dan jasa keluarga yang selama ini telah membesarkan saya. Saya akan pastikan impian itu tercapai,” ujarnya.
Hangyul kini merupakan penyanyi untuk duo H&D selepas mengundurkan diri daripada projek kumpulan X1 dan IM.