BANDAR RAYA KUWAIT – Pemerintah Kuwait, Sheikh Sabah al-Ahmad Al-Sabah meninggal dunia pada usia 91 tahun di Hospital Saint Mary, Rochester, Minnesota, Amerika Syarikat (AS) semalam.
Menurut pihak istana, jenazah almarhum akan tiba dari AS hari ini selepas baginda menerima rawatan di hospital itu sejak Julai lalu.
Menteri Hal Ehwal Diraja, Sheikh Ali Jarrah Al-Sabah berkata, seluruh rakyat Kuwait berdukacita atas pemergian baginda itu.
“Dengan penuh rasa sedih dan dukacita, kami berkabung atas pemergian Sheikh Sabah al-Ahmad al-Jaber Al-Sabah, Emir kerajaan Kuwait,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di stesen televisyen tempatan.
Sementara itu, stesen televisyen menyiarkan bacaan ayat suci al-Quran sebelum pengumuman tersebut dibuat. – AFP