Oleh AZAHAR HASHIM
KULIM – Cubaan seorang bekas banduan memecah masuk sebuah kereta di dalam kawasan pagar sebuah rumah di Taman Desa Cinta Sayang, Sungai Karangan di sini pada awal pagi Isnin lalu membawa padah apabila dia ditahan polis, semalam.
Suspek berusia 30 tahun itu ditahan di tepi jalan Estet Padang Meha, Sungai Karangan kira-kira
pukul 2 petang.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim berkata, seorang peniaga dalam talian menyedari kejadian selepas meneliti televisyen litar tertutup (CCTV) di rumahnya kira-kira pukul 9.45 pagi semalam sebelum membuat laporan polis.
“Rakaman CCTV itu menunjukkan kelibat seorang lelaki tidak dikenali memakai topi dan pelitup muka memanjat pagar rumah mangsa.
“Suspek dilihat cuba membuka pintu kereta milik mangsa tetapi gagal sebelum dia memanjat pagar dan menghala ke rumah bersebelahan,” katanya di sini hari ini.
Katanya, hasil siasatan yang dilakukan, pihaknya berjaya menahan suspek di tepi jalan Estet Padang Meha dan hasil soal siasat suspek mengaku terlibat dalam kejadian tersebut.
“Suspek juga mengaku menggunakan modus operandi yang sama di tujuh buah rumah sekitar Sungai Karangan tetapi mendakwa semua cubaannya gagal,” ujarnya.
Beliau berkata, pihaknya merampas beberapa barang daripada suspek antaranya beg sandang, lampu suluh serta pakaian suspek ketika menjalankan kegiatannya itu.
“Pemeriksaan mendapati suspek memiliki 12 rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan curi,” katanya.
Tambahnya, suspek direman selama empat hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan.-K! ONLINE