SYARIKAT pengeluar kapal terbang Airbus mengumumkan rancangannya untuk menghasilkan pesawat komersial berkonsepkan pelepasan karbon sifar yang dijangkakan beroperasi pada tahun 2035.
Tiga konsep pesawat yang berbeza akan dibangunkan dan akan dijana menggunakan kuasa hidrogen yang mampu untuk menempuh penerbangan jarak jauh, sekali gus dapat mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.
Ketua Eksekutif Airbus, Guillaume Faury menjelaskan, penciptaan pesawat itu adalah satu peristiwa bersejarah untuk sektor penerbangan secara menyeluruh.
“Kami akan memainkan peranan penting dalam proses peralihan yang penting dalam industri penerbangan.
“Konsep pesawat yang didedahkan ini memberikan gambaran jelas tentang cita-cita kami yang berani untuk menghasilkan pesawat sifar pelepasan karbon untuk masa depan,” jelasnya.
Tambahnya, beliau percaya penggunaan kuasa hidrogen baik dalam bahan bakar sintetik dan sebagai sumber kuasa utama untuk pesawat komersial berpotensi untuk mengurangkan kesan terhadap iklim dunia.
Ketiga-tiga konsep pesawat bergantung pada hidrogen sebagai bahan bakar. Ini kerana, satu-satunya pelepasan yang dihasilkan ketika dibakar adalah wap air, menjadikannya pilihan bahan bakar bersih untuk kenderaan berat seperti pesawat, kereta api dan lori.