SUNGAI BULOH – Seorang wanita warga emas berdepan detik cemas apabila diragut ketika sedang mengisi minyak di sebuah stesen minyak di Bandar Baru Fasa 3, Sungai Buloh, Ahad lalu.
Kejadian yang berlaku pukul 9 pagi itu menyebabkan mangsa berusia 70 tahun kerugian RM200 dan hilang dokumen pengenalan diri selepas bag sandangnya diragut suspek tidak dikenali.
Difahamkan, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, mangsa yang ketika itu sedang mengisi minyak motosikal tiba-tiba didatangi lelaki memakai pelitup muka dan terus menarik beg sandang milik mangsa sebelum suspek melarikan diri dengan motosikal bersama rakannya.
“Semakan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) mendapati suspek sedang mengisi minyak bersebelahan mangsa sebelum meragut.
“Rakaman CCTV tersebut tidak jelas dan suspek juga memakai pelitup muka. Bagaimanapun, pihak polis masih mengesan suspek yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Polis masih menjalankan siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi 24 saat menunjukkan mangsa diragut lelaki menunggang motosikal. – K! ONLINE