MANCHESTER – Leicester City berjaya menampilkan aksi memukau dengan membelasah Manchester City 5-2 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Etihad malam kelmarin.
Pengurus Leicester, Brendan Rodgers tanpa berselindung menghamburkan pujian kepada barisan pemainnya terutama penyerang sensasi pasukan itu, Jamie Vardy yang berjaya meledak hatrik dalam aksi tersebut.
“Ini adalah keputusan terbaik sejak saya menjadi pengendali Leicester. Satu keputusan dan permainan yang sangat menakjubkan ditampilkan oleh semua pemain.
“Vardy seorang pemain serba lengkap kerana dia memiliki larian deras selain memahami apa yang dimahukan oleh pasukan. Dia adalah pemain terbaik pada perlawanan ini,” katanya.
Bekas pengendali Liverpool itu juga percaya ketenangan yang ditunjukkan semua pemain menjadi faktor kemenangan meskipun mereka ketinggalan satu gol seawal minit keempat.
“Anda tidak boleh berikan banyak ruang kepada pasukan seperti City. Sebaliknya, kami perlu bijak memanfaatkan ruang dan peluang untuk melakukan serangan,” jelas Rodgers.
Selain Vardy, Leicester turut memperoleh dua jaringan menerusi percubaan cantik James Maddison dan sepakan penalti Youri Tielemans, manakala satu lagi gol City dalam perlawanan tersebut dijaringkan oleh Nathan Ake. – AGENSI