BACHOK – Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menangguhkan kemasukan pelajar baharu dan lama secara bersemuka dari Sabah, kawasan zon merah Covid-19 dan individu yang mempunyai sejarah perjalanan dari negeri berkenaan.
Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UMK, Profesor Dr. Mohd. Rafi Yaakob berkata, penangguhan itu hanya untuk pelajar yang mempunyai tempoh perjalanan 14 hari dari Sabah sebelum hari pendaftaran.
Katanya, langkah itu diambil selari dengan saranan Kementerian Pengajian Tinggi agar semua institusi pengajian tinggi (IPT) menangguhkan urusan pendaftaran kemasukan pelajar baharu dan lama dari kawasan zon merah secara bersemuka yang dijadualkan bermula Oktober ini.
“Menerusi pekeliling sebelum ini, UMK telah memaklumkan bahawa proses pendaftaran pelajar baharu dan lama dari negeri Sabah dan Zon Merah perlu dilakukan secara dalam talian dan kembali ke UMK mengikut prosedur sedia ada setelah keadaan kembali pulih.
“Selain itu, pelajar baharu dan lama yang mempunyai sejarah perjalanan ke negeri Sabah dan zon merah dalam tempoh 14 hari sebelum tarikh pendaftaran juga ditangguhkan kemasukan ke UMK seperti saranan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Rafi berkata, bagaimanapun, kemasukan pelajar baharu dan lama yang bukan dari negeri Sabah dan zon merah adalah kekal seperti yang dijadualkan pada bulan Oktober ini dan perlu mematuhi Garis Panduan Pengurusan dan Pelaksanaan Operasi Kemasukan Pelajar
Justeru, katanya, semua Ketua Pusat Tanggungjawab dan mahasiswa UMK dinasihatkan supaya mengambil langkah waspada dalam mencegah risiko penularan wabak Covid 19 di UMK dengan mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard yang ditetapkan selain mengutamakan langkah-langkah keselamatan. – K! ONLINE