Oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED
KUALA SELANGOR – Kehadiran seekor ular sawa senduk sepanjang 0.5 meter mencetuskan panik dalam kalangan guru apabila ia ‘bersembunyi’ di rak fail pejabat Sekolah Kebangsaan Sungai Sireh, Tanjong Karang di sini semalam.
Reptilia seberat 100 gram itu ditemukan kira-kira pukul 10.30 pagi oleh seorang guru lelaki berusia 30-an yang sedang mencari dokumen di rak fail tersebut
Pegawai Pasukan Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kuala Selangor, Leftenan Muda (PA) Suzaini Sulaiman berkata, tiga anggota termasuk beliau telah bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 10.36 pagi.
“Pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati ular tersebut berada di rak fail tiga tingkat berkenaan.
“Kita mengambil masa selama 10 minit bagi menangkap ular tersebut menggunakan penjerut khas,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Tambah beliau, reptilia tersebut kemudiannya dilepaskan di hutan berhampiran. – K! ONLINE