LONDON – Ketua jurulatih Atletico Madrid, Diego Simeone terpukau dengan penampilan pertama penyerang baharu, Luis Suarez yang berjaya meledak dua gol dalam kemenangan 6-1 ke atas Granada pada aksi La Liga di Stadium Wanda Metropolitano kelmarin.
Suarez yang dibeli dengan nilai perpindahan sebanyak €6 juta (RM29.1 juta) daripada Barcelona masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-70 dan hanya memerlukan 20 minit untuk memberikan impak besar buat Atletico.
Simeone sudah menjangka prestasi cemerlang Suarez, 33, tetapi apa yang memukau mata beliau ialah penyerang antarabangsa Uruguay itu tidak bersikap tamak dengan mencipta peluang buat Marcos Llorente menjaringkan gol dalam aksi tersebut.
“Suarez menjaringkan dua gol tetapi ia langsung tidak mengejutkan saya. Saya lebih teruja mengenai peluang yang dicipta buat Llorente menjaringkan gol kerana ia adalah satu gerakan yang sangat menarik.
“Perubahan taktikal telah memberi ruang dan peluang untuk kami mendominasi perlawanan dengan lebih baik kerana kekuatan yang ada pada pemain-pemain sedia ada,” katanya.
Simeone juga mengakui, pembelian Suarez membayangkan pasukannya sudah bersedia untuk merampas gelaran La Liga musim ini daripada Real Madrid.
“Jika kami boleh mempamerkan aksi konsisten sepanjang musim, saya percaya misi untuk meraih gelaran liga tidak mustahil untuk dicapai. Kehadiran Suarez telah menaikkan semangat barisan pemain kerana karakternya sebagai seorang juara,” katanya. – AGENSI