MUNICH – Ketua jurulatih Bayern Munich, Hans-Dieter Flick memuji pasukan Hoffenheim kerana berjaya meleburkan rekod tanpa kalah skuad bimbingannya buat pertama kali sejak Disember tahun lalu selepas tewas 1-4 pada aksi Bundesliga di Arena Rhein-Neckar kelmarin.
Pada perlawanan tersebut, Flick terpaksa merehatkan beberapa pemain utama termasuk penyerang sensasinya, Robert Lewandowski selepas pasukannya tampil cemerlang menjuarai trofi Piala Super Eropah pada Jumaat lepas.
Kata Flick, banyak alasan yang boleh diberikan selepas menyaksikan barisan pemainnya beraksi di bawah tahap sebenar tetapi pujian juga wajar diberikan kepada pihak lawan yang mempamerkan taktikal permainan berkualiti.
“Saya tidak tahu bagaimana untuk memberikan alasan mengenai punca pasukan mempamerkan aksi longlai pada perlawanan ini. Mungkin aspek kepenatan boleh dijadikan sebagai salah satu faktor kekalahan kami.
“Namun, saya tidak boleh menyalahkan pemain kerana mereka telah memberikan aksi yang terbaik. Cuma, Hoffenheim lebih bersedia daripada segi mental dan fizikal untuk mengharungi perlawanan ini.
“Pasukan lawan mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan gol. Mereka juga berjaya bermain mengikut arahan ketua jurulatih, Sebastian Hoeness dengan begitu cemerlang,” katanya.
Hoffenheim meraih empat gol yang dijaringkan dua oleh Andrej Kramaric dan masing-masing satu daripada Ermin Bicakcic serta Munas Dabbur, manakala Joshua Kimmich menghadiahkan jaringan sagu hati buat Bayern.
Bayern akan mengharungi jadual padat dalam bulan ini apabila bakal membuat perhitungan dengan musuh tradisi, Borussia Dortmund pada aksi Piala Super Jerman di Allianz Arena awal pagi Khamis ini. – AGENSI