KUALA LUMPUR – Penyanyi Ismail Izzani bersedia dengan sebarang kecaman apabila bertindak melakukan penggambaran video muzik untuk lagu terbaharunya berjudul Ada Cara di sebuah gereja.
Ismail, 20, berkata, meskipun sedar pemilihan lokasi penggambaran video muzik tersebut akan menimbulkan sensitiviti kepada penonton tetapi dia berpegang kepada mesej yang mahu disampaikan menerusi lagu.
“Saya bersedia dengan segala kemungkinan. Cuma apa yang saya mahu tekankan ialah mesej yang cuba disampaikan dalam video video ini.
“Saya mahu penonton nampak jalan cerita tentang sepasang kekasih tetapi berbeza agama. Saya memilih gereja supaya senang orang faham konteks jalan cerita Ada Cara menyentuh soal agama. Jadi saya tidak rasa ada yang salah,” ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu Ada Cara di ibu kota., petang tadi.
Lagu Ada Cara merupakan hasil ciptaannya bersama komposer Mas Dewangga dan Firdaus Rahmat. Kedua-dua komposer itu turut berperanan dalam penghasilan lirik bersama Mohd. Ariz dan Shaqiel Naufal termasuk Ismail sendiri.
Single kelapan Ismail itu dilancarkan pada pada Selasa, 29 Setember tepat pukul 8 malam menerusi YouTube World Peace Entertainment.
Tambah Ismail lagi, penggambaran video muzik yang dilakukan di sebuah gereja di Damansara, Petaling Jaya itu memberi pengalaman baharu buat dirinya.
“Mestilah rasa pelik sebab ini kali pertama saya masuk ke situ. Rasa tidak biasa dan kekok. Sampaikan saya terpaksa ambil masa selama setengah jam untuk bersedia sebelum memulakan penggambaran.
“Tetapi apabila fikirkan tentang mesej yang ingin disampaikan kepada penonton, saya perlu buat yang terbaik. Lirik lagu ini sendiri pun sudah mendalam, ditambah dengan visual dalam gereja membuatkan hasilnya sangat mengagumkan.
“Apatah lagi lagu ini berkisar tentang agama. Kisah cinta seorang lelaki yang berpegang teguh kepada agamanya. Manusia berbeza tetapi Tuhan hanya satu dan lelaki dalam lagu memilih Tuhannya. – K! ONLINE