fbpx

Perlu berani untuk tambah pendapatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.
WARTAWAN EKSEKUTIF, ZUBAIDAH IBRAHIM

DALAM situasi ekonomi yang tidak menentu, setiap individu perlu melakukan lebih daripada satu pekerjaan atau mempunyai pendapatan sampingan.

Pendapatan sampingan ini bukan sahaja membantu mereka yang kehilangan pekerjaan akibat musim Covid-19, malah ia memberi keuntungan berganda berbanding pekerjaan tetap.

Menurut Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia Profesor Madya Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd. Dali, untuk bebas daripada masalah kewangan, seseorang itu perlu mempunyai pendapatan yang lebih tinggi daripada perbelanjaan.

“Sehubungan itu, pilihan di tangan kita sama ada mahu me­ngurangkan perbelanjaan atau menambahkan pendapatan.

“Mungkin agak sukar untuk mengurangkan perbelanjaan maka, mencari pendapatan sampingan adalah cara terbaik,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Terangnya, terdapat tiga jenis pendapatan iaitu aktif, pasif dan portfolio.

Pendapatan aktif ialah pekerjaan yang melibatkan kita mendapat upah atau gaji, manakala pasif pula seperti dijana daripada rumah sewa, royalti buku atau muzik.

Bagi pendapatan portfolio, ia berbentuk keuntungan modal dan dividen seperti pelaburan saham atau unit teras.

Ujar Nuradli Ridzwan Shah, jualan online sangat bagus kerana ia juga boleh menjadi pendapatan pasif.

“Menulis e-book dan penjualan naskhah boleh memberi sumbangan kepada pendapatan pasif,” tuturnya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Keusahawanan dan Kreativiti, Fakulti Ekonomi dan Pe­ngurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Noor Azuan Hashim berkata, bagi memulakan perniagaan, ia memerlukan minat dan keberanian untuk berniaga.

“Jangan lengahkan masa ke­rana peluang berniaga tidak datang berkali-kali.

“Pemilihan perniagaan hendaklah mengikut minat terma­suk menceburkan diri dalam jualan kosmetik, pakaian, aksesori atau perkhidmatan tatarias,” katanya.

Katanya, produk baharu dan viral juga dapat membantu seseorang memilih perniagaan sesuai dengan dirinya.

Beliau berpendapat, perniagaan online sangat sesuai untuk dijadikan pendapatan sampingan kerana ia fleksible dan tidak terikat.

“Sesorang itu boleh menjana pendapatan mengikut kese­suaian masa dengan memastikan telefon pintar sentiasa di tangan untuk menjawab pertanyaan atau tempahan pelanggan.

“Perniagaan ini adalah salah satu ciri ekonomi gig yang mana seseorang individu itu bekerja mengikut kesesuaian dan masa yang diset sendiri,” tambahnya.

Noor Azuan menyarankan agar memulakan perniagaan online dengan menjadi dropship sesuatu produk terlebih dahulu untuk mendapat ‘roh’ berniaga.

Selain itu, perlu juga untuk menimba ilmu berniaga secara formal atau tidak formal.

Dalam pada itu, Ketua Pendidikan Kewangan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit, Nor Akmar Yaakub berkata, adalah penting untuk membuat bajet kewangan setiap kali mendapat gaji supaya tidak berbelanja berlebihan.

“Perkara pertama yang perlu dilakukan ialah membuat simpanan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada gaji tersebut.

“Selepas itu tentukan per­belanjaan yang terdiri daripada perbelanjaan tetap, berubah dan budi bicara,” tuturnya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI