PETALING JAYA – Seorang pegawai kanan tentera mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan memikat isteri orang empat tahun lalu.
Tertuduh Azmi Ali, 45, membuat pengakuan itu selepas menukar pengakuannya sejurus selepas pertuduhan dibacakan semula di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.
Mengikut pertuduhan, Azmi didakwa dengan niat jenayah memikat wanita yang sudah bersuami berusia 44 tahun sehingga melakukan hubungan intim.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah tempat di Bandar Putra Permai, Seri Kembangan di sini pada awal tahun 2016.
Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Sekyen 498 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian menetapkan 2 November ini untuk sebutan semula kes.
Dalam prosiding itu pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Zubaidah Mahat manakala tertuduh diwakili peguam Azman Zakaria.
Pada 22 September lalu, tertuduh yang juga merupakan bapa kepada dua orang anak itu telah didakwa dan mengaku bersalah di mahkamah sama.
Hari ini sepatutnya ditetapkan untuk fakta kes dan jatuh hukum namun tertuduh menukar pengakuan tidak bersalah.
Mahkamah kemudian mengekalkan tertuduh ikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin. – K! ONLINE