fbpx

K2

Naratif berhujah Siti Rosmizah, sisi peguam novelis 7 Hari Mencintaiku

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SITI ROSMIZAH membahagikan masa antara kerjayanya sebagai peguam dan penulis dengan penuh disiplin.

TUJUH tahun lalu wanita itu pengsan pada hari pelancaran novelnya, Curi-Curi Cinta. Pemergian ibunya yang dijemput Ilahi ke alam barzakh sebulan sebelum hari pelancaran novel itu membuatkan dirinya tersadung ke alam kesedihan.

Bagai layang-layang putus tali, selama ini ibulah tempat Siti Rosmizah Semail menumpahkan kasih seorang anak setelah bapa meninggal dunia sejak 2001. Siti Rosmizah mengakui ibulah sahabatnya paling akrab dan peminat setia pertama yang akan membaca setiap penulisannya.

Hiba mengenangkan novel itu sendiri direalisasikan atas hasrat ibunya supaya dia menukilkan kisah anak derhaka sebagai iktibar buat masyarakat, Siti Rosmizah yang juga seorang peguam pilu ibunya, Faridah Mohd. Yunus tidak sempat menyaksikan hasrat itu tertunai.

“Ibu meninggal dunia pada bulan Mac 2013 sedangkan pelancaran novel saya sebulan selepas itu. Ibu pergi dengan tiba-tiba kerana serangan jantung.

“Biarpun pada waktu itu saya terlalu lemah, saya gagahi untuk melancarkan novel itu demi ibu. Hakikatnya, ibu saya memang teruja apabila saya bergelar novelis, lebih daripada saya menjadi peguam,” kata Siti Rosmizah kepada K2.

DRAMA 7 Hari Mencintaiku 2 tular dan menjadi fenomena pada tahun ini.

Siti Rosmizah, 48, ialah penulis novel dan pengolah skrip drama rantaian fenomena tahun ini, 7 Hari Mencintaiku 2 yang mencatatkan tontonan 12 juta. Novel itu diterbitkan pada tahun 2018.

Sebelum ini, sentuhan penulisannya, Curi-Curi Cinta yang diadaptasi ke drama juga sukses dan meraih populariti apabila mencatat 7.5 juta tontonan sekali gus dinobatkan drama No. 1 tahun lalu seperti mana yang dilaporkan media.

Tahun ini juga cukup manis apabila buat pertama kalinya Siti Rosmizah melebarkan cabang penulisannya menjadi penulis lirik. Percubaan pertamanya menerusi lagu Aku Bidadari Syurgamu dendangan Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin terbang tinggi apabila menjuarai banyak carta muzik tempatan.

Biarpun kini ibunya sudah pergi, namun arwah tetap menjadi tunjang kekuatan Siti Rosmizah dalam bidang penulisan. Pesanan ibunya mendakap sanubari dan menjadi azimat untuk dia terus berkarya.

“Ibu saya berpesan selagi masih ada hayat teruskanlah menulis kerana penulisan yang baik itu nanti akan menjadi amal jariah untuk akhirat.

“Hidup kita ini pun tidak tahu sampai bila,” ungkap graduan undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu penuh makna.

Ilham mimpi

Menceburi bidang guaman sejak dua dekad lalu dan bergelar novelis sejak 2008, Siti Rosmizah menyifatkan bakat penulisannya suatu anugerah walau tidak pernah menjangkakan bergelar novelis. Bermula dengan novel pertamanya, Andai Itu Takdirnya pada 2008, sehingga kini dia telah menulis 13 buah novel dengan empat daripadanya telah diadaptasi menjadi drama. Banyak novelnya bertaraf terlaris di pasaran.

Sering memasukkan elemen undang-undang dalam karya-karyanya, Mia Adriana watak utama dalam rantaian novel 7 Hari Mencintaiku itu juga ialah seorang peguam. Kepakaran Siti Rosmizah dalam bidang perundangan dijelmakan kepada watak Mia antaranya sewaktu menyelesaikan beberapa kes jenayah Helmi dalam 7 Hari Mencintaiku musim pertama.

“Menjadi peguam menyebabkan saya mengetahui banyak kisah menarik realiti masyarakat di luar sana. Penjenayah mana yang tidak saya jumpa?

“Kes-kes sivil dan jenayah juga banyak berlatarbelakangkan pergolakan rumah tangga. Saya mendengar rintihan ibu-ibu tunggal. Macam-macam perangai menantu, ibu mertua yang ramai tidak tahu. Saya juga mengetahui banyak kes penderaan mental kepada isteri. Ada isteri mencuri coklat demi anak-anak. Saya tegaskan kepadanya mencuri sekeping coklat untuk anak sekalipun akan tetap dianggap pencuri dan menerima hukuman sama seperti mereka yang mencuri puluhan ribu ringgit. Andai menangis sekalipun, saya tetap tidak dapat membelanya.

“Ada juga isteri yang rela ke tali gantung mengaku atas jenayah dilakukan suami semata-mata kerana tidak mahu anak-anak tidak terbela lantaran hanya suami yang bekerja. Saya berasa mahu menyampaikan kisah-kisah sebegini kepada masyarakat, tetapi saya tidak tahu mediumnya, adakah saya perlu menulis buku ilmiah?” kata anak Pantai Dalam, Kuala Lumpur itu.

Tambahnya, kemudian, kisah-kisah syahdu yang berbekas di mindanya itu terbawa-bawa ke dalam mimpi. Mimpi yang berterusan selama dua minggu umpama kesinambungan episod demi episod itu bagai cetusan ilham yang menggerakkan dirinya menulis novel pertamanya pada 2008 berjudul Andai Itu Takdirnya.

“Saya tidak pernah terfikir menjadi novelis. Orang kata, mimpi itu mainan tidur tetapi mimpilah yang telah menggerakkan saya menulis novel. Apabila menulis novel, ibu saya sangat gembira dan teruja membaca setiap penulisan saya. Ibu saya benar-benar melihat penulisan mampu mengubah masyarakat,” ujarnya.

Mungkin sesetengah orang terfikir bagaimana seorang peguam yang menggemari fakta menulis novel bersifat cereka, Siti Rosmizah menjawab:
“Saya adalah seorang penulis novel berdasarkan fakta. Banyak naratif cerita yang saya garap berasaskan kisah realiti masyarakat termasuk 7 Hari Mencintaiku 2.”

Siti Rosmizah berkata, dia mendisiplinkan diri untuk memastikan sesebuah novel siap dalam tempoh tiga bulan.
“Apabila menulis novel saya akan menulisnya dengan sepenuh penghayatan dan merasakan setiap emosi. Jika menyampaikan suatu yang sedih, saya akan pastikan saya sendiri menangis sebelum berpuas hati,” ujar penulis novel prolifik itu.

Pembaca memeluk Islam

Siti Rosmizah senantiasa percaya magis kejayaan penulisannya juga adalah bertitik tolak daripada pegangan terhadap pesan ibunya bahawa penulisan itu sebagai amal jariah.

“Saya berasa tersentuh apabila novel saya mampu mengubah diri manusia. Ramai yang terkesan dengan watak-watak dalam novel saya sehingga ada pembaca mengirim mesej memberitahu memeluk Islam kerana keimanan dan penyerahan sebulatnya watak Aleya kepada Allah dalam Andai Itu Takdirnya dan ada isteri yang kembali berbaik dengan suami kerana novel-novel saya.

“Saya berasa terharu apabila ada penonton memberitahu, drama 7 Hari Mencintaiku 2 telah membawa kepada penyatuan keluarganya,” ujarnya.

SITI ROSMIZAH merupakan penulis novel prolifik yang mempunyai ramai peminat.

Menyentuh mengenai drama itu, Siti Rosmizah berkata, biarpun tumpuan banyak diberikan kepada watak Khuzairi dan Mia, namun dia mahu penonton menyedari keagungan kasih Pak Andak yang setia melayani kerenah isterinya, Mak Andak yang gila meroyan setelah kematian anak. Penonton juga perlu sedar bagaimana percambahan watak Helmi daripada seteruknya lelaki kepada lelaki yang sangat baik,” ujarnya.

Drama itu terbitan syarikatnya SR One Sdn. Bhd. dengan Siti Rosmizah dan suaminya Mazelan Zainol Abidin sebagai penerbit, manakala dua anak mereka, Muhammad Haiqal dan Muhammad Haziq sebagai penerbit eksekutif.

Siti Rosmizah berkata, dia kini merancang untuk menghasilkan novel 7 Hari Mencintaiku 3 berserta adaptasi dramanya.

“Kena ada novel juga, kalau tidak peminat novel saya akan marah. Biarpun ada drama, sesetengah peminat saya tetap merasakan penceritaan novel lebih meresapi jiwa mereka. Cuma apabila adaptasi ke drama, saya perlu bijak mewujudkan subplot-subplot di luar kotak bagi menyuntik kelainan dan memasukkan elemen semasa. Saya kira itu juga resipi ramai yang ‘melekat’ dengan drama ini,” tuturnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI