KUALA LUMPUR – Seramai lima Pegawai Perubatan Jabatan Kesihatan Perak tiba Hospital Lahad Datu, Sabah hari ini bagi membantu usaha membendung penularan pandemik Covid-19 di negeri itu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, mereka masing-masing dari Hospital Teluk Intan, Hospital Slim River, Hospital Changkat Melintang, Hospital Selama dan Hospital Gerik.
“Kesemua petugas barisan hadapan ini telah bersiap sedia untuk menjalankan tugas di lapangan dalam usaha negara membendung penularan pandemik Covid-19.
“Bagi pihak rakyat Malaysia, terima kasih diucapkan kepada wira-wira negara ini,” katanya dalam satu hantaran di akaun Facebook beliau hari ini.
Pada 25 September lalu, seramai 10 Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan dari Semenanjung Malaysia digerakkan ke Sabah bagi membantu usaha membendung penularan pandemik Covid-19.
Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan terbabit masing-masing lima dari Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor.
Semalam, kes baharu Covid-19 di Malaysia dilaporkan kekal tiga angka iaitu sebanyak 115 kes dengan Sabah masih menjadi negeri menyumbang kes positif tertinggi melibatkan 98 kes. – K! ONLINE