fbpx

K2

Kraf tangan daripada batang aiskrim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NOORAZHARALINAFIAH sedang membuat sebuah binaan menggunakan kepingan-kepingan batang aiskrim.

ADA apa dengan batang aiskrim setiap kali selepas dimakan? Bagi kebanyakan orang, sudah tentu dibuang ke dalam tong sampah.

Tetapi itu bagi mereka yang tidak mempunyai daya kreativiti, namun bagi Noorazharalinafiah Mohamad Nor, 50, lain pula ceritanya.

Dengan kepingan-kepingan batang aiskrim, penjawat awam ini mampu merealisasikan impiannya mendirikan rumah mini yang menakjubkan hanya dengan barang yang dianggap tidak bernilai oleh sesetengah orang itu.

Keseriusan Noorazharalinafiah menghasilkan kraf tangan tersebut bertitik tolak daripada pengalaman lelaki itu mengikuti kursus pertukangan di GiatMara Muadzam Shah, Pahang selama enam bulan melibatkan pertukangan batu dan kayu.

 

BINAAN perabot mini yang direka daripada batang aiskrim.

 

Kemahiran yang dikecapinya daripada mengikuti kursus itu tidak dipersiakan begitu saja, bahkan digunakan sebaik mungkin sejajar dengan minat yang telah ditanam sejak di bangku sekolah.

“Sebenarnya sejak berusia 12 tahun lagi saya sudah membuat replika kapal terbang daripada batang aiskrim. Dari situ lagi sudah timbul minat tetapi tertangguh disebabkan kesibukan belajar atau kerja dan hobi itu kini datang kembali,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Nusantara, Gelang Patah, Johor baru-baru ini.

Noorazharalinafiah berkata, dia mula membuat rumah mini daripada batang aiskrim sejak dua tahun lalu.

 

KREATIVITI Noorazharalinafiah begitu terserlah dengan ciptaan rumah mini ini yang kelihatan menakjubkan.

 

Lelaki itu yang bekerja di Jabatan Kebajikan Masyarat (JKM) berkata, idea membina rumah mini tercetus ketika dia berkunjung ke Pontian dan teruja dengan seni bina rumah limas Johor di situ.

“Pada awalnya saya bina rumah limas dengan menggunakan kepingan batang buluh yang diperoleh daripada tikar buluh yang rosak, namun bertukar kepada kepingan batang aiskrim kerana lebih mudah dan ringan,” katanya.

Hasil kreativiti dan idea magis itu, Noorazharalinafiah mampu menghasilkan pelbagai jenis rumah limas, wakaf atau pondok Melayu dan Inggeris, bot pancung, set sofa serta peralatan perabot.

Bapa kepada dua cahaya mata ini berkata, bagi membina sebuah rumah mini dia memerlukan kira-kira 400 kepingan batang aiskrim dibeli di kedai serbaneka dan mengambil masa hampir seminggu untuk disiapkan. Namun, bergantung kepada saiznya.

Noorazharalinafiah berkata, hobi itu kini mendatangkan pendapatan sampingan apabila meraih permintaan daripada para peminat kraf tangan yang mahu menjadikannya sebagai cenderamata.

“Ramai yang beli untuk dijadikan hiasan di dalam rumah. Ia dijual pada harga bermula RM10 hingga RM300 bergantung kepada saiz,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI