BARCELONA – Ketua jurulatih Barcelona, Ronald Koeman memuji impak yang dipamerkan penyerang muda sensasi, Ansu Fati selepas beraksi cemerlang membantu pasukan menewaskan Villarreal 4-0 pada aksi La Liga di Stadium Camp Nou awal pagi semalam.
Pada perlawanan tersebut, Fati yang baru berusia 17 tahun menjadi ayam tambatan buat Barcelona dengan menjaringkan dua gol selain gerakan lincahnya berjaya menghadiahkan sepakan penalti disempurnakan ketua pasukan, Lionel Messi.
Kata Koeman, Fati telah mempamerkan aksi yang sangat bagus tetapi dalam masa yang sama beliau tidak mahu memberi tekanan buat penyerang antarabangsa Sepanyol itu kerana masih ada ruang perlu diperbaiki.
“Aksi yang dipamerkan oleh Fati wajar diberikan tumpuan dan apa yang dia lakukan sangat bagus terutama selepas saya mengkritik prestasinya sewaktu sesi latihan pramusim kerana gagal mencapai tahap memuaskan.
“Namun, situasi berbeza pada perlawanan ini kerana dia menjaringkan dua gol tetapi dalam masa sama saya tidak mahu dia berpuas hati. Fati baru sahaja berusia 17 tahun dan masa depannya sangat cerah,” katanya.
Sementara itu, Koeman mengesahkan, beliau mungkin tidak mencari pengganti kepada Luis Suarez tetapi hanya akan berbuat demikian jika menemui pemain di posisi No. 9 yang sesuai sebelum jendela perpindahan berakhir pada Isnin depan.
“Ruang untuk mendapatkan penyerang tulen di posisi No. 9 masih lagi terbuka tetapi buat masa ini pasukan agak selesa dengan taktikal bermain tanpa kehadiran penyerang utama,” jelasnya.
Satu lagi gol Barcelona dalam aksi tersebut diperoleh menerusi jaringan sendiri pemain Villarreal, Pau Torres. – AGENSI