PARIS – Bintang tenis Kanada, Eugenie Bouchard menemui rentak terbaik apabila meraih kemenangan pertama sekali gus melangkah ke pusingan kedua Terbuka Perancis selepas mudah mengatasi pemain remaja Rusia, Anna Kalinskaya semalam.
Bouchard yang beraksi atas tiket wild card di gelanggang tanah liat di Roland Garros itu tidak mahu mensia-siakan peluang apabila mencatat kemenangan straight set 6-4, 6-4 dalam tempoh satu jam 21 minit.
“Saya rasa kemenangan ini merupakan persembahan terbaik saya berbanding perlawanan sebelum ini. Saya lebih yakin dan bersemangat untuk tampil lebih baik pada aksi seterusnya.
“Tahap kecergasan saya juga baik dan mampu menguasai gelanggang dengan sempurna. Tidak banyak kesilapan dilakukan dan saya gembira melangkah ke pusingan seterusnya,” katanya.
Persembahan terbaik Bouchard pada Terbuka Perancis adalah melangkah ke peringkat suku akhir pada tahun 2014 sekali gus berjaya menduduki ranking No. 5 dunia pada tahun berikutnya.
“Saya sukakan cabaran beraksi di gelanggang tanah liat dan perkara utama adalah persediaan mental. Saya bersedia untuk bertahan pada saingan ini dan mahu mara ke peringkat final,” ujarnya.
Sementara itu, pemain pilihan kesembilan, Johanna Konta berdepan nasib malang apabila tersingkir awal selepas tewas kepada pemain berusia 16 tahun dari Amerika Syarikat (AS), Coco Gauff 6-3, 6-3.
Hasil kemenangan tersebut, Gauff akan berdepan jaguh Itali, Martina Trevisan pada pusingan kedua. – AGENSI