LONDON – Arsenal kini menggunakan pengaruh Pierre-Emerick Aubameyang untuk memujuk perancang Lyon, Houssem Aouar berhijrah menyertai pasukan itu selepas dua bidaan mereka ditolak jaguh Perancis tersebut.
Presiden Lyon, Jean-Michel Aulas dilaporkan telah menolak tawaran kedua The Gunners bernilai €38 juta (RM184.4 juta) kerana menganggap ia terlalu jauh dengan nilai semasa Aouar berjumlah €50 juta (RM242.6 juta).
Pengurus Arsenal, Mikel Arteta merasakan kehadiran pemain berbakat berusia 22 tahun itu mampu menyelesaikan masalah kreativiti di bahagian tengah skuad bimbingannya dalam usaha mencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini.
Tanpa berselindung, Aubameyang, 31, yang baru sahaja menandatangani kontrak baharu bersama Arsenal, membuat kenyataan secara terbuka dengan memuji kemampuan dimiliki permata baharu skuad antarabangsa Perancis itu.
“Saya menyokong (Arsenal) menandatangani khidmat Aouar. Saya tidak dapat menyembunyikan hakikat ini walaupun menyedari dia masih bersama Lyon,” kata kapten Arsenal itu dalam satu rancangan televisyen Perancis, Canal+ semalam.
Ia secara tidak langsung memberi gambaran bahawa Arsenal sedang mencuba sedaya upaya memastikan Aoaur menandatangani kontrak bersama juara Piala FA itu sebelum jendela perpindahan pemain ditutup pada 5 Oktober ini.
Sebagai rekod, Aouar kempunan membuat debut bersama skuad senior Perancis selepas namanya digantikan oleh Nabil Fekir pada saat-saat akhir untuk aksi Liga Negara-Negara Eropah awal bulan ini kerana positif Covid-19. – AGENSI