SOCHI – Pelumba Mercedes, Lewis Hamilton berang dengan tindakan steward perlumbaan Formula Satu (F1) apabila mendakwa ada pihak cuba sabotaj bagi menghalang pelumba Britain itu merebut kemenangan pada Grand Prix (GP) Rusia kelmarin.
Hamilton dikenakan penalti 10 saat kerana dianggap melakukan kesalahan bermula di tempat tidak sepatutnya pada sesi latihan di Litar Sochi.
Keadaan itu menyebabkan impian Hamilton untuk menyamai rekod Michael Schumacher dengan 91 kemenangan musnah selepas sekadar menamatkan saingan di kedudukan ketiga.
“Bagi saya, hukuman penalti diberikan atas kesalahan jika seseorang pelumba beraksi dalam keadaan berbahaya atau menyebabkan kemalangan ke atas pelumba lain. Tetapi dalam situasi ini, saya tidak mendatangkan bahaya kepada sesiapa pun.
“Pada perlumbaan seterusnya saya akan pastikan mereka tidak mampu memberikan sebarang alasan menyebabkan saya dikenakan penalti. Saya yakin tiada seorang pelumba yang mendapat penalti lima saat berturut-turut sebelum atas kesalahan yang tidak masuk akal.
“Saya tidak membahayakan sesiapa pun, saya sudah melakukan berjuta kali dalam perlumbaan sebelum ini dan tidak pernah menerima sebarang amaran. Bagi saya mereka cuba menghentikan saya,” kata Hamilton.
Prinsipal pasukan Mercedes, Toto Wolff pula tidak mahu menuding jari atas kegagalan anak buahnya itu meraih kemenangan pada GP Rusia.
“Saya tidak mahu menuduh sesiapa mengenai hal itu. Saya tidak gembira dengan penalti yang dikenakan kepada Hamilton. Saya sentiasa hormat dengan keputusan steward tetapi insiden ini kami terpaksa untuk tidak bersetuju,” ujar Wolff.
Rakan sepasukan Hamilton, Valtteri Bottas muncul juara, manakala tempat kedua menjadi milik pelumba Red Bull, Max Verstappen.
– AGENSI