Oleh NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
DUNGUN – Gara-gara seekor tapir yang tiba-tiba melintas jalan, dua kereta terlibat dalam kemalangan di Kilometer 8, Jalan Dungun-Bukit Besi berhampiran Loji Air Serdang dekat sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 6 pagi itu, pemandu Proton Iswara, dan seorang pemandu Perodua Myvi mengalami kecederaan ringan.
Kemalangan tersebut juga menyebabkan tapir berkenaan mengalami kecederaan di bahagian kaki dan mulut.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, kejadian berlaku selepas Proton Iswara dari arah Bukit Besi gagal mengelak lalu melanggar tapir itu yang tiba-tiba melintas jalan.
“Impak rempuhan itu, kereta tersebut hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan.
“Kereta Perodua Myvi di laluan bertentangan tersebut pula tidak dapat mengelak lalu berlaku bertembungan antara dua kereta terbabit,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Dr. Abdul Malek Mohd. Yusof berkata, tapir dewasa tersebut telah melarikan diri memasuki hutan berhampiran dalam keadaan cedera. – K! ONLINE