SUNGAI BULOH – Pasangan suami isteri yang terlibat dalam penipuan pakej penginapan hotel mewah membabitkan pasukan barisan hadapan ditahan di sebuah inap desa di Ampang pada Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan, Shafa’aton Abu Bakar berkata, bertindak atas laporan yang dibuat seorang jururawat hospital kerajaan pada 13 September lalu membawa kepada penangkapan pasangan berusia 27 dan 26 tahun itu.
Katanya, hasil siasatan mendapati suspek aktif menjalankan kegiatan penipuan itu sejak September tahun lalu dengan menggunakan nama I & I Paradise Venture.
“Setakat 25 September lalu, kita telah menerima 30 laporan membabitkan kes yang sama dengan nilai kerugian berjumlah RM26,193.
“Kebanyakan mangsa terdiri daripada pasukan barisan hadapan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh hari ini.
Menurutnya lagi, modus operandi pasangan itu adalah mengiklankan pakej penginapan hotel mewah di seluruh negara dengan harga murah menerusi aplikasi WhatsApp.
“Mangsa akan diminta membuat bayaran penuh sebelum diminta berhubung dengan suspek dalam tempoh 10 hari daripada tarikh daftar masuk hotel.
“Bagaimanapun, pada hari tempahan suspek akan mendakwa hotel penuh dan menawarkan tempat penginapan lain dengan harga lebih tinggi,” ujarnya.
Tambahnya lagi, pasangan yang tidak bekerja itu direman sehingga esok bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu. – K! ONLINE