PRINSIPAL Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Datuk Razlan Razali mengakui kehadiran Valentino Rossi bakal memberi aura kepada pasukan negara pada Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim depan.
Jelas Razlan, pengalaman dan kestabilan yang ada pada juara dunia MotoGP sebanyak tujuh kali itu menjadi perkara utama buat pasukannya dalam mengharungi perlumbaan musim 2021.
Sebelum ini, peminat dua roda di Malaysia mempersoalkan tindakan pasukan Malaysia membawa masuk legenda Itali, Rossi yang dikatakan sudah berusia untuk mengharungi perlumbaan MotoGP dengan usianya sudah 42 tahun.
“Kestabilan pasukan menjadi perkara utama kerana sebelum kita bersetuju membawa masuk Rossi, pasukan bukan menilai seorang pelumba malah kami juga mencari pelumba-pelumba lain termasuk pelumba muda dalam saingan Moto2.
“Akibat pandemik Covid-19 dan perlumbaan juga ditangguhkan sejak Julai, maka sukar untuk kita menilai pelumba lain dalam tempoh ini.
“Kita memerlukan pelumba berpengalaman pada musim depan. Saya akui dia (Rossi) sudah berumur tetapi lihat pada sesi kelayakan semalam, dia berada di kedudukan ketiga terbaik. Bagi kami dia masih kompetitif tetapi untuk memburu gelaran dunia agak sukar.
“Pengalaman Rossi baik untuk pasukan ini dan saya yakin ia mampu memberi aura kepada Petronas SRT tahun depan terutama kepada pelumba Malaysia dalam saingan Moto2, Moto3 mahupun CEV,” katanya kepada pemberita pada sidang video semalam.
Dalam pada itu, SRT juga tidak berdepan masalah dari segi pembayaran gaji apabila Factory Yamaha akan membiayai kos Rossi pada musim depan.
“Kontrak SIC dan VR46 hanya tempoh satu tahun dan kontrak kita dengan Rossi kebanyakannya mengenai hak-hak eksklusif meskipun gaji Rossi dibiayai oleh Yamaha sepenuhnya.
“Kita sedar Rossi mempunyai nilai, jadi perlu berhati-hati soal ini supaya kita tidak berdepan masalah pada masa akan datang. Jika dia datang ke SIC, kita perlu tahu apa manfaat yang kita dapat bukan sahaja kepada SIC malah rakan kita iaitu Petronas,” ujarnya.