Oleh TOREK SULONG
KOTA BHARU – Kasih ibu hingga ke syurga, kasih bapa kekal selamanya.
Itu perumpamaan yang tepat bagi menggambarkan ketabahan nelayan, Ismail Hamat, 66, dari Kampung Tok Puchung, Kedai Buluh di sini menjaga dua daripada enam anaknya yang juga Orang Kelainan Upaya (OKU).
Anak keempat Ismail, Ahmad, 39, mengalami masalah lemah daya pemikiran manakala anak kelimanya, Suhaimi, 31, pula lumpuh akibat strok haba sejak tiga tahun lalu.
Ismail berkata, dia juga tidak mahu menyusahkan isterinya, Haminoh Alee, 61, yang menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi dan lemah jantung.
“Saya sudah tiga tahun tidak turun ke laut kerana perlu mengurus kedua-dua anak yang sakit selain menguruskan kerja-kerja rumah yang lain.
“Suhaimi sudah tidak bermaya kerana tubuhnya yang semakin kurus akibat strok haba. Keadaan itu menyebabkan dia terlantar atas katil sejak beberapa tahun lalu,” katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya semalam.
Terdahulu, Ismail dikunjungi pengasas Pertubuhan Bantuan Asnaf Cempaka Merah, Che Norhayati Mohamed yang menyampaikan sumbangan barangan berupa makanan kepada keluarga tersebut.
Mengulas lanjut, Ismail berkata, anaknya itu tidak memakan makanan dan minuman lain kecuali susu khas.
Ismail berkata, dia bergantung sepenuhnya kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat yang diterima sebanyak RM600 sebulan untuk membeli barangan keperluan, namun jumlah itu tidak mencukupi.
“Susu yang diminum Suhaimi berharga RM82 untuk 850 gram dan mampu bertahan selama empat hari sahaja,” katanya.
“Saya juga menghadapi kesukaran memandikan kedua-dua beradik itu kerana bekalan air dari telaga tiub yang digunakan tidak bersih,” katanya.
Jelas Ismail, dia terpaksa membeli air daripada mesin penapis di kedai berhampiran dan mengangkut air dari masjid yang terletak kira-kira 500 meter dari rumahnya untuk kegunaan harian.
Tambah Ismail, dia reda dan menganggap bebanan yang dipikul itu sebagai ujian hidup.
Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan diminta menghubungi Ismail di talian 011-5852 2911 atau menyumbang menerusi akaun Bank CIMB 7633706677.