Oleh KHAIRUL MOHD. ALI
KULAI – Sebanyak 24 saman dikeluarkan terhadap 14 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kulai Besar di sini atas pelbagai kesalahan trafik, di sini hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Johor, Superintenden M. Kumarasan berkata, kesalahan itu termasuklah tidak memakai topi keledar dan tidak memiliki lesen.
Katanya, tindakan itu dibuat ekoran pelaksanaan Ops Didik, yang bertujuan untuk mendidik pelajar khususnya mereka yang menunggang motosikal ke sekolah.
“Sebanyak 47 motosikal diperiksa, dimana 14 daripadanya ditahan kerana penunggang tidak memiliki lesen memandu serta kenderaan tidak mempunyai perlindungan insurans.
“Antara kesalahan lain termasuklah menanggalkan cermin pandang belakang, melakukan modifikasi tidak dibenarkan serta penggunaan nombor plat yang salah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah beliau, kesemua motosikal yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai untuk proses dokumentasi manakala ibu bapa pelajar terlibat akan dimaklumkan dan tindakan akan diambil.
“Ibu bapa yang membenarkan anak mereka menunggang motosikal tanpa memiliki lesen juga boleh dikenakan tindakan undang-undang di mahkamah,” ujarnya.
Sementara itu, Kumarasan turut memberitahu, sejak Januari hingga Ogos tahun ini, sebanyak 175 kemalangan jalan raya melibatkan pelajar direkodkan.
“Daripada jumlah itu, 75 daripadanya membabitkan kematian, 41 kecederaan parah, 37 kecederaan ringan serta 22 membabitkan kerosakan pada kenderaan,” tambahnya.-K! ONLINE