fbpx

Mahkamah tangguh perbicaraan Ahmad Zahid selama 3 hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar dari Facebook Ahmad Zahid yang memaklumkan didatangi dua pegawai KKM secara mengejut bagi ujian Rapid Test Kid dirumahnya semalam.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk perbicaraan kesnya ditangguhkan selama tiga hari bermula hari ini sehingga Rabu berikutan  masih menjalani kuarantin Covid-19.

Peguam Hamidi Mohd. Noh yang mewakili Ahmad Zahid memberitahu, bahawa anak guamnya tidak dapat hadir kerana berdasarkan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO), anak guamnya perlu dikuarantin di rumah dari 26 September sehingga hari ini.

“Anak guam saya telah melakukan ujian swab sekali lagi selepas lawatan mengejut pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) di rumahnya semalam dan keputusannya adalah negatif.

“Bagaimanapun hari ini, beliau akan menjalani ujian wajib Reverse Transcription Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) di rumahnya untuk menentukan sama ada keputusan negatif atau positif. Oleh itu, pihak pembelaan ingin memohon penangguhan perbicaraan untuk hari ini, esok dan Rabu,” katanya.

Dalam pada itu Hamidi turut memaklumkan bahawa difahamkan Ahmad Zahid mungkin berisiko kerana pada 19 September lalu beliau ada bersama calon (Barisan Nasional) bagi kerusi Pitas, Sufian Abd. Karim, yang diuji positif Covid-19 termasuk mengambil gambar bersama.

” Jadi saya merasakan kita perlu mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan penyebaran virus,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran berkata pihak pendakwaan tidak membantah mengenai penangguhan perbicaraan itu.

Selepas mendengar permohonan tersebut, Hakim Collin Lawrence Sequerah kemudian menangguhkan tarikh perbicaraan untuk hari ini sehingga Rabu dan akan bersambung semula pada 12 Oktober ini.

Sabtu lalu melalui Facebook rasminya Ahmad Zahid memantau perkembangan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang sedang berlangsung dari rumah berikutan sedang menjalani kuarantin.

Beliau memuat naik beberapa gambarnya sedang komunikasi dengan jentera Barisan Nasional (BN) di Sabah melalui sidang video.

“Oleh kerana kuarantin, saya memantau dari rumah segala perkembangan terbaharu mengenai hari mengundi PRN Sabah,” katanya yang turut membuat tanda pagar ‘radutatapradu’ dan ‘radusampaimenang’. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI