PHILADELPHIA – Seekor kucing obes yang dibuang pemiliknya memerlukan tuan baharu bagi membantunya menurunkan berat badan di kejiranan Hunting Park, negeri Pennsylvania baru-baru ini.
Pengarah Pembangunan dan Komunikasi Kumpulan Kawalan dan Penjagaan Haiwan Philadelphia (ACCT Philly), Sarah Barnett berkata, kucing bernama Lasagna itu seberat 14 kilogram (kg) iaitu empat kali ganda berat kucing biasa.
“Lasagna telah ditinggalkan oleh pemiliknya dan kami berbesar hati sekiranya terdapat individu yang sudi menjaganya.
“Kami tidak mampu untuk menjaganya lagi kerana menghadapi masalah kewangan selepas pemotongan belanjawan hampir AS$900,000 (RM3.8 juta) oleh majlis perbandaran,” katanya.
Selain itu, Barnett berkata, pihaknya turut memberikan Lasagna diet yang ketat untuk membolehkan dia berjalan dan membersihkan diri sendiri semula.
“Lasagna adalah kucing yang sangat manja dan disebabkan masalah berat badannya itu, dia sukar untuk berjalan serta menguruskan dirinya dengan sempurna.
“Kucing obes boleh mengalami masalah kesihatan tertentu, jadi Lasagna memerlukan pemilik baharu untuk membantunya menurunkan berat badan dan menjadi kucing yang lebih sihat,” ujarnya.
Tambah Barnett, terdapat individu yang berminat untuk menjaga kucing itu, namun tidak dapat meneruskan hasratnya disebabkan haiwan tersebut terlalu besar.
“Seorang wanita berminat untuk memelihara Lasagna, tapi dia tidak jadi untuk mengambilnya kerana mendapati kucing itu lebih besar daripada sangkaannya.
“Sekiranya tiada sesiapa yang mahu memeliharanya tetapi ingin membantu kami menjaganya, mereka boleh memberikan menyalurkan sedikit sumbangan,” ujarnya. – Agensi