fbpx

KKM tambah petugas saring pengembara dari Sabah di KLIA, KLIA2

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Selangor diarah menambah petugas dan peralatan bagi melancarkan proses saringan Covid-19 terhadap semua pengembara dari Sabah yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 1 dan 2 (KLIA 1 dan KLIA 2), Sepang.

Arahan itu dikeluarkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba selepas beliau meninjau keadaan di lapangan terbang yang dilaporkan sesak ekoran ramai pengembara terpaksa menunggu lama bagi menjalani ujian saringan Covid-19.

“Masalah kesesakan akan diselesaikan segera dengan penambahan peralatan dan petugas,” katanya menerusi laman Twitter hari ini.

Pada masa sama, KKM berterima kasih kepada semua petugas barisan hadapan atas komitmen yang diberikan dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19.

Kosmo! sebelum ini melaporkan semua individu warga negara dan warga asing yang pulang dari Sabah diwajibkan menjalani saringan Covid-19 mulai semalam hingga 10 Oktober depan.

Peraturan baharu itu turut mewajibkan mereka memakai gelang kuarantin dan menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) dari tarikh ketibaan hingga keputusan makmal diperoleh. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI