Oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED
KLANG – Sebuah kereta terpaksa dihantar ke bengkel bagi mengeluarkan seekor ular sawa batik sepanjang dua meter yang ‘menyorok’ di bawah tangki minyak dalam kejadian di Taman Subang Mewah, Subang Jaya di sini malam tadi.
Kehadiran reptilia seberat tujuh kilogram (kg) itu disedari pemiliknya berusia 40-an kira-kira pukul 9.30 malam sebelum menghubungi talian kecemasan untuk tindakan lanjut.
Ketua Sektor Operasi APM Klang, Leftenan (PA) Muhammad Najib Mohamad Isahak berkata, sepasukan lima anggota bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.43 malam.
Katanya, anggota sukar mengeluarkan reptilia itu kerana tidak mempunyai peralatan untuk mengangkat kereta berkenaan.
“Justeru, wanita tersebut kemudiannya meminta bantuan seorang mekanik untuk membawa kereta itu ke bengkel sekaligus mengeluarkan ular tersebut.
“Operasi yang berakhir pukul 12.27 tengah malam itu berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Beliau menjelaskan ular tersebut kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut. -K!ONLINE