KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hajiji Mohd. Noor diumumkan sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu.
Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Hajiji yang juga Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Sabah, pada sidang akhbar selepas perjumpaan tertutup Gabungan Rakyat Sabah (GRS), hari ini.
“Pencalonan ini disokong bersama semua wakil rakyat PN, Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang membentuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Kami setuju sebulat suara mereka menamakan saya sebagai Ketua Menteri,” katanya.
Turut hadir, Pengerusi BN Sabah, Datuk Bung Moktar Radin; Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr. Jeffrey Kitingan dan Setiausaha Agung PBS, Datuk Jahid Jahim.
Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman, berkata, beliau bersama semua ADUN daripada GRS akan ke Istana Negeri untuk upacara angkat sumpah Ketua Menteri esok.
Ditanya berhubung jawatan Timbalan Ketua Menteri, beliau berkata, perkara itu akan dibincangkan selepas beliau mengangkat sumpah Ketua Menteri, esok.
Katanya BN, PN dan PBS bersetuju untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu selepas memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lalu.
“Ini adalah mandat rakyat yang diberi kepada kami yang akan kita tunaikan sebagai tanggungjawab kepada rakyat agar Sabah terus bergerak ke hadapan.
“Kita akan meneruskan usaha untuk membela rakyat dan melakukan yang terbaik seperti digariskan dalam manifesto kita,” ujarnya.
Sementara itu, Bung Moktar berkata, beliau yakin Sabah mampu dipulihkan di bawah kepemimpinan GRS.
“Kami yakin Sabah akan pulih. Kita akan mulakan langkah kita untuk memastikan rakyat dibela, tidak lagi main politik. Kita mahu tumpukan usaha membangunkan negeri,” katanya. – K! ONLINE