UGSBURG, Jerman – Penyerang Borussia Dortmund, Erling Braut Haaland gagal mengulangi magis untuk membantu pasukannya mengelak daripada kekalahan 0-2 kepada Augsburg pada aksi Bundesliga di Augsburg Arena kelmarin.
Haaland, 20, pernah merekodkan sejarah Bundesliga sebagai individu pertama yang meledak hatrik selepas dimasukkan sebagai pemain gantian ketika membuat debut bersama Dortmund menentang Augsburg pada Januari lalu.
Bagaimanapun, kecemerlangan itu gagal diteruskan sekali lagi ke atas Augsburg yang berjaya merantai Haaland dan tidak membenarkan penyerang Norway tersebut bergerak bebas kecuali berjaya mendapatkan satu percubaan tepat sahaja sepanjang perlawanan.
Ketua jurulatih Dortmund, Lucien Favre mengakui, kekalahan itu membuktikan skuad bimbingannya masih banyak lagi yang perlu diperbaiki jika berhasrat mencabar kejuaraan Bundesliga daripada Bayern Munich musim ini.
“Kami bermula dengan baik dan mendominasi keseluruhan besar permainan tetapi kami tidak cukup tajam apabila berada di hadapan gawang pasukan lawan.
“Augsburg berjaya bertahan dengan baik hingga menyebabkan kami terpaksa menyerang menggunakan bahagian sayap,” katanya.
Dua gol Augsburg dalam perlawanan itu dijaringkan oleh Felix Uduokhai dan Daniel Caligiuri pada minit ke-40 serta 54.
Dortmund perlu segera melupakan dan bangkit daripada kekalahan itu menjelang pertemuan getir bertemu Bayern dalam aksi Piala Super Jerman di Allianz Arena pada Khamis ini yang menjadi penanda aras kemampuan mereka. – AGENSI