JAKARTA – Sebilangan pemandu bas sekolah di ibu kota Indonesia, Jakarta tidak lagi mengangkut pelajar ke sekolah, sebaliknya menghantar penduduk yang dijangkiti Covid-19 ke hospital, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Seorang pemandu bas sekolah, Yusuf Iswahyu berkata, dia bersama rakan-rakan sekerja lain mengambil upah membawa pesakit koronavirus ke hospital ekoran tiada pendapatan selepas banyak sekolah ditutup akibat wabak tersebut.
“Walaupun bas sekolah dipasang penghadang dan saya sendiri memakai pakaian perlindungan diri, namun perasaan takut tetap ada, lebih-lebih lagi apabila saya turut dijangkiti virus Covid-19 ketika mula-mula mengangkut pekerja kesihatan.
“Bagaimanapun, saya tidak akan berhenti daripada menjadi pemandu pesakit Covid-19 kerana menganggap ia sebagai sumbangan kemanusiaan,” katanya.
Kata Yusuf lagi, sejak membawa pesakit Covid-19 ke hospital, dia terpaksa tinggal berjauhan dari kampung halamannya di Cirebon bagi mengelakkan ahli keluarganya turut dijangkiti virus itu.
Menurut Yusuf, dia membawa pesakit Covid-19 ke perkampungan atlet Sukan Asia 2018 yang diubah suai menjadi hospital sementara. Dia juga pernah ditempatkan di situ ketika dijangkiti Covid-19 Mei lalu.
Perkampungan atlet Sukan Asia merupakan salah satu daripada sejumlah fasiliti yang diubah menjadi hospital selepas Gabenor Jakarta, Anies Baswedan mengarahkan penduduk dijangkiti Covid-19 perlu menjalani kuarantin walaupun tidak bergejala bagi mengekang penularan virus itu.
Indonesia selaku negara keempat paling ramai penduduk di dunia berusaha untuk membendung peningkatan jangkitan koronavirus. Negara itu mencatatkan 266,845 kes Covid-19 dan 10,218 kematian setakat ini sekali gus antara tertinggi di Asia.
– Agensi