fbpx

‘Buah hati’ baharu Linda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LINDA NANUWIL

LONTARAN vokalnya yang mantap sewaktu sesi introduksi peserta Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7) yang berlangsung di Menara TA One, Kuala Lumpur baru-baru ini masih berbisa.

Biarpun hampir sedekad menyepikan diri daripada publisiti media cetak mahupun elektronik, kemunculan semula bekas bintang realiti, Akademi Fantasia musim kedua (AF2) itu ibarat ‘kelahiran semula’ pemilik nama pentas Linda Nanuwil.

Sapaan buatnya disambut dengan senyuman manis dan lemah lembut ibarat pendatang baharu dalam dunia seni suara. Biarpun hakikatnya Linda telah bertapak dalam industri sudah cukup lama.

“Linda rindukan dunia seni,” ucapnya ringkas. Itulah antara butir perkataan yang keluar daripada mulut penyanyi kelahiran Ranau, Sabah itu semasa ditemu bual.

Menafikan dirinya merajuk sehingga menyepikan diri daripada dunia seni lantaran pulang ke negeri kelahirannya dalam tempoh cukup lama, dengan tutur kata yang disusun elok, Linda menafikan dakwaan tersebut.

MENAFIKAN dirinya sudah berkahwin selama menyepikan diri dalam industri, Linda sebaliknya berkata hidupnya masih solo dan tetap menjadikan nyanyian sebagai karier selama berada di Sabah. – AMIR KHALID

Menurut Linda, dia mengambil keputusan pulang ke Sabah sejak 2010 selepas kedua-dua ibu bapanya meninggal dunia.

“Bapa saya meninggal dunia pada 2008, manakala ibu pula menyusul pada 2009.

“Jadi Linda mengambil keputusan pulang terus ke Sabah untuk berehat seketika tetapi dalam masa sama Linda masih memenuhi undangan menyanyi di sana,” jelas penyanyi yang popular dengan lagu Jika Kau Kekasih itu.

‘Buah hati’ baharu

Dengan hati berbunga, Linda menambah, dia baru sahaja selesai merakamkan sebuah single baharu karya komposer terkenal, Ajai dan lirik nukilan Lukhman S.

Mempertaruhkan lagu berjudul Ikhlaskan Hatimu, lagu bergenre balada tersebut bercerita tentang keikhlasan cinta yang lahir cuma daripada sebelah pihak sahaja.

Mengakui perkara sedemikian memang terjadi dalam dunia realiti, Linda meletakkan setinggi harapan agar lagu tersebut dapat diterima baik oleh khalayak.

“Lagu tersebut telah selesai dirakam pada awal September lalu termasuk selesai menjalani penggambaran muzik video,” katanya.

BARU dua tahun mempunyai akaun Instagram, Linda sedar harus menjaga keperibadian dalam media sosial agar tidak menimbulkan isu yang tidak diingini.

Matang, positif

Mengakui bahawa dia baharu dua tahun membuka akaun Instagram iaitu sejak 2018, Linda melahirkan rasa bimbang dan akan berhati-hati terhadap penggunaan media sosial.

Berbanding ketika zamannya menyertai AF2 kira-kira 16 tahun lalu, Linda memberitahu kuasa tular ekoran penggunaan media sosial yang semakin meluas membuatkan dia perlu lebih berhati-hati menjaga keperibadian.

“Pengalaman menjadikan saya semakin matang dan selalu berfikiran positif kerana kita tidak boleh puaskan hati semua orang.

“Apa yang penting, saya perlu kuat daripada segi mental kerana dalam dunia hiburan, macam-macam boleh berlaku,” ujar penyanyi berusia 36 tahun itu.

Terima kasih peminat

Muncul menerusi GV7 dan lahir dengan single terbaharu, Ikhlaskan Hatimu, Linda merasakan peluang yang hadir kali ini ibarat hujan rezeki untuk terus subur dalam industri.

MUNCUL menerusi GV7 dan lahir dengan single terbaharu, Ikhlaskan Hatimu, Linda merasakan peluang yang hadir itu ibarat hujan rezeki untuk terus subur dalam industri.

Menurut Linda, penyertaannya dalam GV7 bukanlah untuk bersaing dengan mana-mana penyanyi, sebaliknya menggunakan peluang tersebut untuk menimba ilmu daripada penyanyi-penyanyi profesional lain.

“Penyertaan dalam GV7 jug satu cabaran buat saya kerana setiap minggu penyanyi yang kekal akan membuat persembahan dengan genre berbeza,” jelasnya.

Bohong kalau penyanyi itu tidak meletakkan sedikit harapan untuk memenangi GV7, Linda bagaimanapun tidak mahu terlalu berfikir tentang kemenangan kerana percaya pada rezeki.

Selebihnya, dia berjanji untuk melakukan yang terbaik.

“Apa yang penting, saya sangat berterima kasih kepada peminat yang tidak jemu-jemu menyokong perjalanan karier saya dari dahulu hingga kini.

“Saya sendiri seakan-akan tidak percaya masih dikenali walaupun telah lama menyepi dalam arena seni suara,” balas Linda menutup bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI