fbpx

Beri Luqman peluang, masa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
KHAIRI MOHAMAD, PENOLONG PENGARANG BERITA

SELURUH peminat bola sepak Malaysia pastinya terus tertunggu-tunggu untuk melihat kelibat anak jati Kelantan, Luqman Hakim Shamsudin diturunkan dalam kesebelasan utama kelabnya, KV Kotrijk (KVK).

Meledak satu gol pada aksi persahabatan bersama skuad bawah 21 tahun ketika menentang KRC Gent dilihat satu permulaan baik buatnya sebagai pemain yang beraksi dalam suasana serba baharu.

Luqman kemudian membuktikan pemergiannya berkelana ke Eropah bukan hanya atas dasar ihsan semata-mata sebaliknya kemampuan diri apabila menjaringkan gol bersama skuad utama kelab itu ketika meraih kemenangan 2-1 pada aksi persahabatan menentang BX Brussel pada 5 September lalu.

Bagaimanapun, selepas enam perlawanan Liga Jupiler Belgium berlangsung, kelibat Luqman masih belum kelihatan membarisi skuad tersebut sama ada dalam kesebelasan utama atau di bangku simpanan.

Situasi itu mungkin menimbulkan kegelisahan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan.

Sebagai peminat bola sepak, setiap kali ada pemain tempatan yang beraksi di luar negara, ia sudah pasti memberikan satu aura yang berbeza dan jauh perasaan bangga.

Bagaimanapun, sebagai peminat juga kita perlu realistik kerana Luqman bukan Robert Lewandowski yang berhijrah menyertai kelab baharu kemudian terus berada dalam senarai kesebelasan utama.

Tempoh tiga hingga enam bulan wajar diberikan kepada Luqman untuk dia benar-benar menyesuaikan diri dengan persekitaran, cuaca, cara hidup, bilik persalinan dan padang latihan kerana segala-galanya masih baharu untuk dirinya.

Kalaupun memerlukan tempoh lebih lama untuk menembusi kesebelasan utama KVK, sekurang-kurangnya Luqman sudah berjaya menimba ilmu gaya permainan Eropah dan apabila pulang bersama skuad kebangsaan ia bakal memberi variasi kepada pasukan.

Sebab itu, pentingnya kita mempunyai seramai mungkin pemain yang berkelana ke kelab luar negara kerana secara tidak langsung ia mampu mempengaruhi gaya permainan dan menjadikan mereka lebih baik.

Selain Luqman, kita mempunyai beberapa pemain yang beraksi di luar negara seperti Hadi Fayyadh Abdul Razak yang beraksi di Liga Jepun 2 bersama Fagiano Okayama, Mohamadou Sumareh, Dominic Tan dan Nor Shahrul Idlan Talaha di Thailand serta terbaharu, Safawi Rashid yang akan ke Portugal.

Bagaimanapun, kita mungkin tidak akan mampu melihat hasilnya dalam tempoh segera, beri mereka masa dan pastinya kita akan beroleh sesuatu yang lebih baik untuk masa depan bola sepak negara.

Ketika pelbagai telahan mengenai kemampuan pemain-pemain negara berada di luar negara bagi tempoh yang lebih lama, penulis merasakan cabaran terbesar dan musuh utama adalah kecederaan.

Justeru, Luqman tidak perlu terlalu memaksa diri untuk mencari tempat dalam kesebelasan utama KVK sehingga berdepan masalah kecederaan sekali gus merencatkan seluruh peluangnya untuk bertahan lebih lama di Belgium.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI