LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta memuji Liverpool yang dianggap sebagai contoh terbaik buat pasukan pencabar dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) bahawa kerja keras serta rentak konsisten sangat dituntut jika mahu bergelar juara pada musim ini.
Kata Arteta, karakter yang cuba ditonjolkan oleh skuad kendalian Jurgen Klopp itu wajar dihormati selepas anak-anak buahnya mudah mendominasi saingan EPL musim lepas dengan meraih jurang mata yang sangat besar.
“Saya rasa Liverpool cukup buas dalam usaha memburu gol tidak kira mereka sudah 2-0 atau 4-0 di hadapan. Ia adalah sikap serta karakter yang luar biasa terutama apabila hampir semua 24 pemain skuad utama memiliki mentaliti yang sama.
“Secara jujur, situasi itulah yang meletakkan Liverpool berada dalam kelas yang berbeza pada musim lepas dan jika mana-mana pasukan mahu memintas kejuaraan EPL, mereka perlu menerapkan corak taktikal yang sama,” katanya.
Menjelang pertemuan menentang skuad The Reds di Stadium Anfield awal pagi esok, pengendali kelahiran Sepanyol itu percaya anak-anak buahnya boleh meraih keputusan positif jika mereka kekal fokus dan tidak tertekan sepanjang 90 minit perlawanan.
“Kami telah menewaskan mereka pada penghujung saingan liga musim lalu dan ketika menjuarai trofi Perisai Komuniti bulan lepas. Justeru, saya yakin barisan pemain boleh mengulangi pencapaian yang sama.
“Apa yang penting, pemain perlu memberi tumpuan penuh tidak kira ketika pasukan mendahului ataupun ketinggalan kerana tekanan akan memberi kesukaran dalam usaha memburu keputusan yang positif,” kata Arteta. – AGENSI